Friday, March 9, 2012

Islam Dan Demokrasi

Sirah Rasulullah SAW

Apabila surah Al-Alaq diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW, ia menandakan permulaan kerasulan baginda sebagai penyampai risalah Islam berpandukan kalam Allah SWT.

Mesej dakwah Islam disebarkan pertamanya kepada sanak saudara dan kerabat yang terdekat.

Dakwah 13 tahun pertama di Mekah adalah tiada darinya ritual keagamaan seperti solat atau puasa melainkan hanyalah penanaman asas tauhid dan aqidah iaitu keesaan tuhan yakni Allah SWT melalui doktrin monotheism (kepercayaan kepada kuasa tunggal).

Sungguhpun jika perintah solat dan sebagainya diwahyukan di Mekah, ia masih boleh dipraktiskan samada secara sembunyi atau terangan.

Justeru, mengapakah Rasullulah SAW bersama pengikut baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah di mana dakwah di Bandar Cahaya itu hanyalah 10 tahun sahaja selepas itu?

Adakah hijrah tersebut semata-mata untuk membolehkan umat Islam bersolat dan berpuasa secara terbuka?

Pasti ada hikmah mengapa hijrah berlaku selain dari ia adalah perintah Allah SWT yang Maha Merancang.

Pembentukan aqidah selama 13 tahun di Mekah telah menyediakan umat Islam kepada agenda yang lebih besar.

Agenda tersebut adalah mencari kuasa bagi menjadi tapak pemerintahan Islam untuk menyampaikan mesej Islam bukan sahaja kepada tanah Arab tetapi ke seluruh pelusuk dunia.

Lantas terbentuklah negara Islam yang pertama di Madinah Al-Munawwarah.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

“Tidak Aku utuskan engkau (Muhammad SAW) melainkan untuk membawa rahmat ke sekelian alam”

Setelah baginda SAW wafat dan sebelum jasad suci baginda disemadikan, perkara yang utama yang dibuat oleh para sahabat adalah bersyura bagi memilih pengganti Rasulullah.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA telah dipilih kerana beliau ialah sahabat yang paling berilmu dan berpengaruh sungguhpun beberapa nama turut dicadangkan seperti nama Saidina Ali RA lantaran beliau waris terdekat nabi.

Pemilihan tersebut berlaku dengan akhlak mulia lagi terpuji.

Ia sesuai sebagai satu menifistasi didikan dan asuhan terus yang diteriama para sahabat daripada Rasululah SAW.

Pangkat dan jawatan bukanlah kejaran bahkan dipikul sebagai amanah di pundak masing-masing dan ia bisa menambahkan perhitungan di hari akhirat.

Hasil syura tersebut dihebahkan dan umat Islam menerima khalifah pertama Islam selepas kepimpinan Rasulullah dengan ikhlas kecuali puak munafik dan nabi palsu.

Itu sedikit coretan sirah Rasulullah SAW di mana baginda menjadi pemimpin utama negara yang senantiasa mendapat panduan langsung Allah SWT.

Para pengganti baginda pula adalah mereka yang mendapat tarbiah secara terus bermula dari penurunan wahyu sehingga kewafatan nabi, simbolik kepada hari yang telah sempurna amanah Islam untuk sekelian umat akhir zaman.


Sistem Demokrasi

Hari ini, tinggalan terbesar penjajah Barat selepas memberikan kemerdekaan kepada negara umat Islam adalah sistem demokrasi.

Ia diamalkan di banyak negara umat Islam melainkan di beberapa negara seperti Arab Saudi dan UAE.

Sistem demokrasi ini dilihat sejagat sebagai telus dan adil semenjak diperkenalkan oleh tamadun Yunani melalui ahli falsafah yang dikenali sebagai Cleisthenes pada kurun ke-7.

Ia kemudian diketengahkan di Eropah sebagai jalan pengantara untuk pemisahan kuasa gereja yang menuntut raja selaku wakil tuhan menjadi pemimipin, bertembung dengan kumpulan sekular yang menuntut perlepasan kuasa legislatif dan eksekutif dari tangan monarki, feudal dan golongan paderi.

Kemudiannya gegaran mantera keramat Abraham Lincoln, “kerajaan dari rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat” kedengaran di bumi Amerika.

Melaluinya, setiap warga marhean mempunyai hak saksama untuk bersetuju atau tidak berkaitan sesuatu perkara yang terkait dengan kehidupan.

Maka suara mereka dibawa oleh perwakilan yang dilantik melalui sesi pemilihan.

Jadilah suara majoriti sebagai sangat keramat dan berkuasa dalam sistem demokrasi tidak kisah samada suara tersebut betul atau salah, baik atau buruk.

Ia adalah kehendak massa dan mesti dipenuhi dengan alasan hak dan kebebasan.


Demokrasi di Negara Islam

Revolusi dunia Arab telah memperlihatkan bagaimana demokrasi gagal mewakili suara majoriti.

Dalam menilai hal ini, sudut pandang perlu dihalakan kepada dua dimensi yang berbeza iaitu kepada golongan bawahan dan golongan atasan.

Yang pertama, demokrasi telah menjadi gagal apabila suara dan hasrat yang benar daripada lapisan bawahan kepada golongan atasan yang berkuasa seperti isu keperitan hidup sehari-hari, pertarungan untuk kemandirian diri dan keluarga tidak dihiraukan.

Terjadinya ini kerana banyak faktor seperti penyelewengan (korupsi), terlalu lama di tampuk kuasa (diktator), menjaga kepentingan puak kecil daripada maslahat awam (monopoli dan kronisme), menjadi boneka luar (hipokrit), tidak kompeten, cuai dan lalai serta sebagainya.

Maka suara yang benar dan baik sahaja tidak memadai jika wakil yang dilantik buruk dan salah samada memang sejak mula atau akibat manupulasi oleh pihak berkepentingan yakni musuh Islam atau Islam topengan yang wujud secara dalaman atau luaran.

Ini bertambah buruk apabila amalan demokrasi yang katanya adil disekat dan dilacurkan untuk mengekalkan kuasa pemimpin yang diangkat sebelum ini supaya kekal selamanya.

Yang kedua, apabila suara rakyat jelata sendiri awal-awal lagi sudah salah dan jelik lalu menjadi bertambah malang jika dibawa kepada peringkat atasan yang telah tersedia kejelikkannya.

Ini banyak dilihat di negara umat Islam hari ini.

Andai kata pemimpin atasan adalah baik dan tidak bersetuju dengan hasrat yang salah dan buruk, ia tetap harus dilaksanakan kerana itu prinsip amalan demokrasi .

Semuanya mesti dipenuhi.

Hal ini jarang terjadi dan jika ada sekalipun sudah pasti tidak kekal kepimpinannya kerana demokrasi memberi ruang untuk menggantikan pemimpin walaupun pemimpin itu baik.

Maka hasrat yang buruk lagi salah tetap boleh dilaksanakan atas nama demokrasi.

Suara rakyat adalah suara keramat!!

Inilah umpamanya bagaimana undang-undang pengiktirafan perkahwinan gay, lesbian dan tanseksual boleh diluluskan di beberapa negara barat dek kerana terlalu menyanjung tinggi demokrasi.

Natijahnya sudah ada negara Islam yang mahu dilihat demokratik bergerak terkehadapan untuk mula berkira-kira mengikuti langkah yang sama.

Kedua-dua senario ini memperlihatkan kelemahan sistem demokrasi dan impak besar yang mampu tercetus di negara umat Islam sungguhpun revolusi seperti yang terjadi di Mesir dan Tunisia telah berlaku.

Bahaya tetap terdedah di sana khasnya jika suara bawahan dipengaruhi dengan elemen negatif mainan pihak luar dari kalangan musuh Islam.

Ini bertambah bahaya jika rakyat yang sudah sebati dan selesa dengan model pentadbiran dan aturcara kebaratan selama berdekad-dekad cuba mengekalkan unsur-unsur thagut walaupun revolusi telah mengambil tempat.

Situasi ini lebih sukar digulingkan berbanding menjatuhkan kepimpinan yang zalim.

Maka, jelaslah sistem demokrasi membuka ruang penguasaan oleh musuh Islam ke atas golongan atasan melalui pelbagai methodologi seperti kepentingan hubungan dagang, ancaman keselamatan, dasar luar yang mesra barat, bantuan-bantuan antarabangsa, pemindahan kepakaran dan teknologi dan lain-lain.

Penguasaan ke atas golongan bawahan pula berlaku umpamanya melalui hendonism, komunikasi tanpa sempadan, terapan nilai barat dalam pendidikan, kewujudan kumpulan proksi, liberalisasi jati diri dan pegangan dan seumpamanya.

Ataupun ancaman menjadi lebih dahsyat jika kedua-duanya golongan bawahan dan atasan dikuasai secara sekali gus.

Ini adalah pandangan biasa yang terjadi dan kelihatan di banyak negara umat Islam.


Penyelarian Demokrasi Mengikut Islam

Golongan modernist Islam cuba menerapkan nilai demokrasi ke dalam umat bersandarkan pandangan kewujudan persamaan sistem itu dengan nilai Islam.

Ia sesuatu yang tidak boleh dinafikan kerana tiap yang baik dan tidak menyanggahi neraca Islam adalah tetap baik.

Tetapi, hujah permodenan itu sering kedengaran sebagai usaha menjawab pihak Barat yang acapkali menuduh kemunduran umat Islam adalah kerana dasar tertutup kepada demokrasi yang sebenar.

Ini dilihat sebagai oleh golongan yang tidak bersetuju sebagai usaha melepaskan ikatan Islam melalui liberalisasi agama dari urusan kehidupan atas alasan kemajuan.

Sedangkan isu ini tidak pernah timbul ketika mana Islam menakluki sepertiga dunia dengan ketamadunan yang hebat dan agung.

Dalam kata lain, mereka ini berkeras supaya bukannya agama Islam yang patut diselaraskan mengikut selera demokrasi tetapi adalah sebaliknya.

Oleh sebab itu, tatkala berbicara soal seperti ini asas pertama yang perlu diletakkan adalah Islam itu merupakan satu cara hidup.

Islam adalah agama! Islam adalah negara!

Dari sudut praktis, sistem pemerintahan Islam meletakkan khalifah sebagai jawatan utama di dalam negara atau empayar.

Posisi nombor satu ini harus dilantik oleh satu badan yang disebut sebagai majlis syura.

Majlis adalah badan yang mempunyai kuasa tertinggi dalam melakarkan perjalanan, polisi dan halatuju negara supaya selari dengan kehendak Islam.

Khalifah yang dilantik pula mestilah berilmu, cekap dan berkebolehan.

Namun yang paling utama adalah dia seorang yang bertaqwa kepada Allah.

Apabila hak dan tuntutan Islam dipenuhi dalam urusan kenegaraan, maka pastinya hak dan kemaslahatan rakyat awam akan tertunai dan terjaga.

Islam menuntut keadilan majoriti mahupun minoriti dipenuhi dari sudut pendidikan, akhlak, sosial, ekonomi dan sebagainya tanpa mengira bangsa dan agama.

Siapa pula yang melantik ahli majlis syura?

Pembentukan awalnya mestilah oleh para ulama’ yang diiktiraf darjat keilmuan mereka di sisi para ulama’ lain (seperti dari negara lain dalam realiti hari ini) serta juga disanjung dan dihormati oleh masyarakat Islam.

Ketua majlis syura pula boleh melantik ahli majlis tersebut dari kalangan ulama’ dan professional mengikut situasi dan keperluan yang ada.

Malah tidak mustahil bukan Islam dilantik menjadi ahli bersekutu di dalam majlis syura asalkan ia tidak mencampuri jika hal perbincangan melibatkan urusan hukum hakam agama.

Bagaimana pula jika para ulama’ yang ijma’ ini (maksudnya golongan yang ramai dan bukan seorang dua sahaja) berpakat beramai-ramai untuk mengkhianati Islam?

Sesungguhnya ia adalah mustahil kerana Al-Quran memberi penjelasan kepada kriteria dan sifat ulama’ yang disebut sebagai pewaris kerja dan tugasan Nabi SAW.

Allah berfirman:

“Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-NYA ialah para ulama’”

Qias juga boleh dipakai dengan merujuk kepada kaedah dalam cabang ilmu ulum hadis bagi membincangkan hadis mutawatir.

Hadis mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah rawi (rawi dari zaman sahabat, tabi’in, ulama selepas itu iaitu tabi’ tabi’in dan seterusnya) yang ramai dan menurut adat MUSTAHIL mereka bersepakat berbuat dusta...

Berbuat dusta yang dimaksudkan dalam kaedah tersebut adalah berbuat dusta ke atas Nabi SAW.

Jika pendustaan berlaku ke atas baginda SAW samalah seperti pendustaan ke atas Islam kerana sunnah Rasulluah SAW termasuk hadis baginda adalah sumber hukum tertinggi dalam Islam selepas Al-Quran ul-Karim.

Maka mustahil ijma’ ulama’ berkumpul atas kesepakatan untuk mengkhianati Islam dan umatnya melainkan sekelompok kecil (mereka ini tidak ijma') ulama’ jahat yang disebut oleh Nabi SAW sebagai syaitan bisu

Adapun praktis pemilihan seperti dalam sistem demokrasi boleh dibuka kepada awam untuk memilih pemimpin dari kalangan umara’ seperti di peringkat wilayah, kementerian, majlis perbandaran (city council), organisasi awam dan badan-badan pentadbiran yang lain.

Ini semua mampu mengelakkan atau pada situasi hari ini meminimumkan tersasarnya pentadbiran negara dari ajaran Islam atau dari dimanipulasi musuh Islam.

Hal ini kerana pemimpin atasan yang tertinggi adalah mereka yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-sunnah di mana pastinya mereka sedar akan pemantauan Allah SWT (muroqobbatulllah) setiap masa dalam melaksanakan amanah mentadbir negara mengikut Islam


Kesimpulan

Hakikat hari ini adalah demokrasi sendiri sudah mula terlucut dari pegangan pencinta demokrasi ‘tulen’ di Barat.

Ini satu sifat talam dua muka lebih lagi dengan tohmahan bahawa Islam mundur dek kerana tidak mendakap demokrasi secara total dengan kebebasan bersuaranya, hak asasi manusianya, pluralisme agamanya, nilai sejagatnya dan lain-lain.

Antara amalan munafiq demokrasi adalah pencerobohan ke atas Afghanistan dan Iraq dilakukan atas nama pendemokrasian negara walhal ia adalah kerana punca ekonomi serta usaha mengimbangkan kekuatan musuh mereka seperti Russia dan Iran.

Pendemokrasian adalah dusta dan bohong apabila nilai demokrasi diperkosa oleh pendokongnya sehingga menghalalkan nyawa rakyat awam yang tidak berdosa.

Para hipokrit tersebut juga adalah entiti yang sama di belakang negara haram Israel bagi menafikan hak asasi warga Palestin khasnya di Gaza mendapatkan keperluan asasi hidup seperti air bersih, ubat-ubatan, makanan dan pendidikan seperti yang telah dikonvensyenkan oleh badan dunia iaitu PBB.

Kerajaan sah lantikan rakyat seperti di Algeria oleh parti FIS dan Palestin melalui HAMAS tidak diiktiraf dan dimusuhi.

Paling menarik dan yang terbaru berlaku di bumi Barat sendiri berikutan masalah ekonomi Eropah apabila perlantikan Perdana Menteri Itali yang baru, Mario Monti adalah secara lantikan terus dan bukan melalui pilihanraya .

Ini jelas menunjukan oligarki (kerajaan dari golongan sedikit) lebih agung daripada demokrasi (suara ramai) bersandarkan nilai dari kaca mata barat untuk menjaga kepentingan ekonomi material mereka.

Maka bagaimanakah umat Islam hari ini harus meletakkan sistem khilafah dan syura lebih teragung daripada sistem demokrasi bersandarkan nilai dan timbang tara Islam untuk menjaga kepentingan ‘ekonomi‘ iman dan taqwa kita?

Itu persoalan yang harus dijawab oleh setiap Muslim hari ini!

0 comments:

Post a Comment