Friday, March 2, 2012

wahyu pertama.

Bismillah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

A001

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),

A002

Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;

A003

Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -

A004

Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -

A005

Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Sebab nuzul:

Bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian, baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah r.ha dan baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.

Ketika Baginda berada di dalam Gua Hira' itu, Malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepada baginda: "Bacalah!" Baginda menjawab: "Aku tidak tahu membaca".

Lalu Jibril memegang baginda dan memeluknya erat-erat sehingga baginda berasa kepayahan. Kemudian, Jibril melepaskan baginda seraya berkata: "Bacalah!" Jawab baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca". Kemudian, Jibril a.s memegangnya lagi dan memeluknya hingga baginda berasa kesukaran untuk bernafas. Jibril a.s membaca lima ayat daripada surah ini.

Para perawi hadis menambah: "Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar dan ketakutan sambil menyeru kepada Khadijah r.ha: "Selimutkanlah aku! Selimutkanlah aku!" Lalu baginda diselimutkan sehingga hilang rasa gementarnya.

Baginda menceritakan kisah yang dialami kepada isterinya itu seraya bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri". Lalu Khadijah r.ha menghiburkan hati baginda dengan berkata: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah SWT tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka membantu orang lain, menjamu tetamu dan sentiasa menegakkan kebenaran".

Kemudian Khadijah r.ha membawa baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah lagi dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin Injil ke dalam bahasa Ibrani. Beliau menderita penyakit buta setelah usia semakin meningkat.

Khadijah r.ha berkata kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini!" Waraqah menjawab: "Apakah yang berlaku wahai anak saudaraku?" Lalu, Rasulullah SAW terus menceritakan tentang apa yang dialaminya.

Waraqah berkata: "Itu adalah namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya jika aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu".

Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?" Waraqah menjawab: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku". Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketahuilah, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu kerana hanya dengan ilmu kita mampu mengenal sang Pencipta, mendekatkan diri kepadaNya, melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini dan menjadi hamba yang bersyukur.

“Mempelajari pengetahuan itu adalah sama dengan memuji Allah SWT.
Menuntut pengetahuan adalah sama dengan melakukan perang di jalan Allah SWT.
Mengajarkan pengetahuan adalah sama dengan bersedekah, dan dengan mengajarkan pengetahuan kita akan mendapat pahala.” Imam Ghazali.

0 comments:

Post a Comment